Anda perlu habiskan pelajaran ini dahulu! Apabila anda sudah meneliti setiap bab, dan menemui 12 cara untuk kita meningkatkan akses Orang Asli kepada pendidikan, anda akan membuka kunci ganjaran ini yang boleh anda kongsikan dengan rakan-rakan!
Anda telah menemui kunci 0! Tinggal lagi 12! Semak progress anda dengan menggunakan paparan skor ini!
Cari semua penyelesaian untuk membuka kunci ganjaran anda
Baca 12 penyelesaian yang disyorkan dalam kertas penyelidikan ini.
Kad skor anda:
Cadangan 1: Perlu ada tumpuan yang lebih besar terhadap pembelajaran dan menangani cabaran-cabaran asas berbanding memberi tumpuan pada permasalahan gejala
Budaya persekolahan umum mesti mengutamakan pembelajaran berbanding peperiksaan atau ulang-hafalan. Pendidikan berkualiti tinggi yang boleh memotivasikan dan mendidik pelajar amat diperlukan bagi melahirkan pelajar Orang Asli yang berdikari. Dasar dan program perlu menangani isu asas dan bukannya hanya menangani masalah gejala secara am yang tidak menyelesaikan atau membasmi isu ini.
Cadangan 2: Budaya dan sejarah orang asal haruslah disepadukan ke dalam kurikulum arus perdana.
Sangat penting untuk budaya dan sejarah Orang Asal dimasukkan dalam kurikulum arus perdana, dan Orang Asli tidak seharusnya digambarkan sebagai kaum asing eksotik, sebaliknya diraikan sebagai sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat di Malaysia. Murid-murid sekolah harus diajar tentang kumpulan sub-etnik Orang Asli yang berbeza, tempat tinggal, sumbangan kepada pembentukan negara, kesenian, dan budaya mereka yang berkait rapat dengan persekitaran semula jadi.
Hak Orang Asli untuk menentukan nasib mereka sendiri sebagai Orang Asal juga harus dimasukkan dalam pendidikan arus perdana.
Cadangan 3: Program sedia ada haruslah dipantau dan dinilai untuk memastikan penyampaian dan pelaksanaan yang cekap dan berkesan
Pemantauan berkala, serta penilaian semasa dan pasca program diperlukan untuk memastikan program berjalan mengikut perancangan dan dapat dilaraskan sekiranya terdapat isu baharu yang timbul. Pemantauan dan penilaian ini perlu dipertimbangkan pada permulaan reka bentuk program asal.
Cadangan 4: Para guru dan pemimpin sekolah yang mempunyai kelengkapan dan berkemampuan menyampaikan pendidikan berkualiti kepada murid Orang Asli perlu diberikan autonomi yang lebih luas dan kebertanggungjawaban yang seimbang. of delivering quality education for Orang Asli students need to be entrusted with greater autonomy and balanced accountability.
Guru dan pemimpin sekolah yang mampu meningkatkan kualiti pendidikan murid Orang Asli harus diberi kebebasan untuk berbuat demikian, kerana mereka boleh menjadi teladan yang memacu perubahan. Walau bagaimanapun, autonomi ini perlu diimbangi dengan kebertanggungjawaban. Guru-guru dan pemimpin sekolah ini juga perlu diberi latihan lanjut dan kelengkapan untuk memanfaatkan sepenuhnya autonomi ini supaya dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berserta peruntukan sumber yang cekap.
Cadangan 5: Latihan pra-penempatan mengenai budaya Orang Asli boleh diberikan kepada guru, dan infrastruktur serta sumber untuk guru di sekolah Orang Asli harus ditambah baik.
Guru-guru yang ditempatkan di sekolah yang mempunyai murid Orang Asli harus diberi latihan untuk memperkenalkan mereka kepada sejarah dan budaya kumpulan sub-etnik Orang Asli yang akan mereka ajar. Modul persediaan ini juga boleh merangkumi latihan prasangka tersirat untuk mewujudkan kesedaran diri tentang prasangka perkauman yang dialami oleh Orang Asli.
Guru yang ditempatkan di sekolah Orang Asli sering memikul pelbagai tanggungjawab di luar bilik darjah, seperti menjaga pelajar selepas waktu sekolah dan menyelenggara infrastruktur sekolah. Guru-guru ini harus diberi lebih sokongan dan dinaikkan elaun untuk tanggungjawab tambahan ini. Keadaan kehidupan dan infrastruktur pengajaran mereka juga boleh dipertingkatkan.
Cadangan 6: Guru harus dilatih dalam pedagogi yang inovatif dan adaptif, manakala wadah/sarana/medan/saluran untuk perkongsian pengetahuan boleh diwujudkan.
Guru harus diperkenalkan kepada cara pengajaran yang berbeza seperti pedagogi responsif dan adaptif terhadap budaya, sebelum dan semasa penempatan mereka. Guru-guru berpengalaman digalakkan berkongsi amalan terbaik mereka dan memberikan nasihat kepada guru baharu.
Inisiatif perkongsian pengetahuan lain boleh merangkumi persidangan pengajaran tahunan untuk memupuk rangkaian dan sokongan dalam kalangan guru; dan saluran perkongsian pengetahuan dalam talian yang mesra pengguna sebagai sumber untuk guru.
Guru sering menggunakan dana persendirian untuk membina alat pengajaran yang inovatif. Mereka harus disokong, dan dana pengajaran serta pembelajaran harus disediakan untuk guru. Pengiktirafan juga harus diberikan kepada guru dan sekolah atas amalan terbaik mereka.
Cadangan 7: Kepercayaan dan kerjasama antara sekolah dan masyarakat Orang Asli perlu dibina kerana ibu bapa Orang Asli serta komuniti mereka adalah rakan kongsi yang penting dalam pendidikan.
Hal ini penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong kanak-kanak Orang Asli. Sekolah dan komuniti harus mempunyai komunikasi terbuka dan bekerja secara kolaboratif. Sekolah juga boleh menggunakan kepakaran komuniti dan pengetahuan tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran untuk pelajar mereka.
Cadangan 8: Sekolah berasaskan komuniti (PDK) perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem sokongan untuk sekolah dan sumber yang mencukupi perlu disediakan kepada PDK.
Sokongan dan pengiktirafan harus diberikan kepada PDK oleh kerana peranan penting mereka dalam pendidikan masyarakat. PDK menyediakan pendidikan prasekolah, program selepas waktu sekolah dan dalam beberapa kes persekolahan alternatif untuk kanak-kanak tanpa akses kepada sekolah awam atau mereka yang tercicir. Beberapa PDK juga menyediakan peluang pembelajaran untuk orang dewasa dalam komuniti.
Sokongan boleh diberi dalam bentuk pembiayaan dan bantuan sumber kepada PDK, termasuk infrastruktur seperti perpustakaan, komputer dan sambungan internet yang kukuh. Walau bagaimanapun, autonomi mereka harus kekal sebagai ciri penting dalam struktur tadbir urus mereka.
Cadangan 9: Pendidikan prasekolah yang berkualiti perlu disediakan berdasarkan pembelajaran melalui permainan, interaksi sosial dan persekitaran mereka.
Murid Orang Asli tanpa akses kepada prasekolah serba kekurangan apabila mereka memasuki Darjah 1, kerana kurikulum menganggap bahawa mereka sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Guru perlu memberi perhatian khusus untuk mengajar kemahiran asas ini kepada mereka, tetapi hal ini mungkin tidak dapat dilakukan memandangkan saiz kelas yang besar. Murid yang menghadiri prasekolah juga mungkin lebih yakin dengan kebolehan mereka dan dapat beralih ke kehidupan persekolahan dengan lebih baik. Terdapat banyak kampung yang tidak mempunyai akses kepada prasekolah dan penubuhan lebih banyak pusat didikan komuniti (PDK) boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak Orang Asli.
Cadangan 10: Masyarakat Orang Asli harus diperkasa untuk menjadi agen perubahan mereka sendiri dan mengambil bahagian dalam proses penggubalan dasar berkaitan Orang Asli.
Ini memastikan bahawa budaya dan pandangan mereka diterapkan dalam penggubalan dasar. Isu dan cabaran pendidikan harus ditangani bersama dengan ibu bapa dan komuniti Orange Asli di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
Salah satu langkah yang penting adalah penubuhan Majlis pendidikan Orang Asli, yang terdiri daripada pemimpin, penggubal dasar pendidikan, pengetua, dan guru Orang Asli, bersama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan. Majlis ini boleh mentadbir dan memantau kemajuan dasar dan program untuk kanak-kanak, lantas memastikan suara Orang Asli diambil kira dan terlibat sepenuhnya dalam pemantauan rapi mana-mana program.
Cadangan 11: Mewujudkan wacana berasaskan kekuatan untuk beralih daripada wacana defisit semasa Orang Asli.
Kadar keciciran pelajar Orang Asli yang tinggi dan jurang dalam pencapaian pendidikan sering dikaitkan dengan budaya dan cara hidup mereka. Semua pihak berkepentingan perlu beralih daripada 'wacana defisit' ini, dan menerima pakai satu rangka berasaskan kekuatan yang menghargai budaya Orang Asli sebagai aset. Hal ini termasuk peralihan kepada kaedah pengajaran responsif terhadap budaya yang menggunakan konteks budaya pelajar untuk menjadikan pembelajaran berkaitan dan berkesan.
Cadangan 12: Kerjasama kementerian yang berkaitan mesti diperkukuh untuk menangani cabaran pelbagai dimensi yang dihadapi oleh kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli.
Pelbagai agensi perlu bekerjasama untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi. Hal ini termasuk membina sekolah yang berhampiran dengan kampung, menyediakan pengangkutan dan jalan raya yang selamat dan kukuh, serta bantuan kewangan dan sumber kepada keluarga dan sekolah.
Infrastruktur seperti asrama, perpustakaan, pusat komputer, dan sambungan internet juga amat diperlukan.
Di peringkat kampung, kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih adalah penting.
Kerjasama NGO dan yayasan kebajikan lain juga diperlukan dalam usaha ini. Aliran maklumat dan ketelusan mengenai ketersediaan bantuan juga perlu ditangani supaya ibu bapa dan pelajar menyedarinya dan mempunyai akses kepada bantuan dan sumber yang tersedia untuk mereka.
Apabila Donny mula bersekolah, dia mempunyai tabiat membakar baju sekolahnya.
Tidak, dia bukan bermain dengan api. Dan dia tiada kemalangan di dapur. Itu hanyalah merupakan kali pertama dia menggosok baju sekolahnya.
“Saya memang budak yang pusing (kawalan suhu) sampai habis,” kata Donny.
“Saya ingat pengalaman saya, pernah tiga, empat baju saya bocor masa itu.”
Donny baru berusia tujuh tahun ketika itu, tinggal di asrama sekolah, inilah kali pertama dia berjauhan dengan keluarganya.
“Masa mula-mula masuk, saya berdikari sendiri lah,” ingat Donny. “Tapi ada warden dan pembantu pelajar, mereka tolong ajar.”
“Dari situ saya dapat mengetahui cara menggosok baju.”
Banyak komuniti Orang Asli yang terletak di luar lingkungan jalan raya bertar, jauh dari sekolah kerajaan, menjadikan sekolah asrama satu-satunya pilihan realistik untuk pendidikan rasmi.
Selalunya, sekolah-sekolah ini terlalu jauh, atau jalan-jalannya sangat teruk, sehingga murid jarang berpeluang untuk menziarahi rumah masing-masing semasa semester persekolahan. Perpisahan yang berpanjangan ini menyebabkan terdapat jurang keibubapaan yang perlu diisi oleh pihak sekolah.
Warden asrama Donny mengisi peranan itu dengan baik. Lagipun, sekolahnya adalah sekolah Pusat Intelek, yang dibina untuk murid Orang Asli yang berpencapaian tinggi. Sebaliknya, ramai Orang Asli yang memasuki sekolah berasrama biasa melaporkan pengalaman yang kurang baik.
Pada tahun 2015, tujuh murid Orang Asli sekolah rendah hilang dari asrama sekolah di Pos Tohoi, Kelantan. Pihak berkuasa sekolah pada mulanya menganggap murid-murid itu ponteng dan cuba menjejaki mereka di rumah mereka. Apabila ia terbukti tidak benar, mereka mula membuat laporan polis dan memulakan operasi mencari di hutan berhampiran.
Selepas pencarian selama 46 hari yang mencengkam negara, hanya dua murid ditemui hidup, meskipun hampir mati kelKeesokan harinya, wajah-wajah kurus dua mangsa yang terselamat dapat dilihat dari muka depan akhbar dan laporan atas talian. Kisah mereka kemudian terungkai. Mereka telah melarikan diri ke dalam hutan dan bersembunyi di sana kerana mereka takut kepada guru-guru sekolah mereka.
Mereka menceritakan bagaimana guru-guru mereka kerap memukul murid sebagai hukuman, dan menggambarkan bentuk hukuman lain yang seakan seksaan.
Walaupun hukuman fizikal bukanlah sesuatu yang luar biasa di sekolah Malaysia, ianya jarang dipraktikkan dalam keluarga Orang Asli, di mana kanak-kanak selalunya dididik dengan lemah lembut.
Sehingga kini, tiada tindakan tatatertib yang telah diumumkan terhadap pihak sekolah mahupun guru-guru terbabit.
Tidak hairanlah bahawa keluarga yang terkesan di Pos Tohoi enggan menghantar anak-anak mereka kembali ke sekolah. Tingkah laku guru-guru yang membawa kepada tragedi telah meruntuhkan kepercayaan Orang Asli terhadap sekolah.
Sementara Insiden Pos Tohoi adalah contoh insiden melampau yang boleh terjadi, kajian temubual yang dijalankan oleh IDEAS menemui banyak lagi kejadian guru-guru seolah-olah menjauhkan diri daripada murid Orang Asli apabila usaha mereka tidak membuahkan hasil yang diharapkan.
Seorang murid Orang Asli berkata dia sering merasakan seolah-olah gurunya tidak suka mengajar Orang Asli, “Dia tak sebut, tapi, daripada cara yang dia tengok tu, dia macam tak suka Orang Asli. Macam dia terpaksa belajar Orang Asli.”
Seorang lagi mendakwa gurunya secara terbuka menggelar murid Orang Asli sebagai ‘bodoh’ dan tidak berbaloi untuk diajar.
“Guru itu adalah sekolah. Tanpa guru, sekolah hanyalah sekadar bangunan. Jika guru gagal berinteraksi dengan bermakna bersama murid-murid, infrastruktur atau fasiliti sehebat manapun tidak akan membantu,” kata Wan Ya Shin, salah seorang penulis kajian IDEAS itu.
“Berinteraksi dengan bermakna termasuklah menghargai konteks berbeza dari mana pelajar berasal, dan menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut tahap masing-masing. Guru yang cukup berpengalaman dan berkebolehan untuk berbuat demikian harus diberi kebebasan untuk berinovasi, demi kepentingan pelajar mereka.”
Sebilangan guru yang ditemubual oleh IDEAS menempa kejayaan dengan murid Orang Asli apabila mereka menyesuaikan sukatan pelajaran untuk anak murid mereka, dan bukannya mengikutinya bulat-bulat.
“Secara logik akal – kenapa saya mengajar sukatan pelajaran Tahun 5 sedangkan pelajar saya tidak boleh membaca?” kata Samuel Isaiah, bekas guru di sekolah Orang Asli, di mana kaedah pengajarannya yang inovatif merangkumi bilik darjah bergerak yang dikenali sebagai ‘Sekolah Pokok’, di mana dia mengajar pelajaran di bawah pokok di kampung mereka.
"Saya tidak mengubah kurikulum, saya menyesuaikannya mengikut keperluan murid-murid,” sambungnya. “Sewaktu pertama kali saya berjumpa dengan anak murid saya, saya menjalankan analisis keperluan, dan dari situ, saya berusaha agar mereka akhirnya selaras dengan kurikulum."
Seorang lagi guru berkata, apabila peperiksaan UPSR dibatalkan kerana pandemik Covid-19, ia memberikannya lebih kebebasan untuk mengajar mengikut rentak murid berbanding tergesa-gesa menghabiskan sukatan pelajaran tepat pada masanya sebelum peperiksaan. Dia menyaksikan hasil pembelajaran yang lebih baik.
“Ianya merupakan amalan harian saya sebagai guru Bahasa Inggeris. Saya mendengar, saya merenung, saya menilai, dan kemudian saya merombak semula. Proses itu berlaku secara aktif,” kata Samuel, yang menghabiskan masa selama setahun berinteraksi dengan murid-murid serta komuniti mereka, sebelum merangka intervensi kontekstual. Dia juga melawat pelajarnya dan membawa keluarga mereka ke sekolah untuk menjalin hubungan baik.
“Mereka mula menyedari bahawa pendapat mereka penting untuk suasana kelas, dan saya mula menerima maklum balas yang bagus daripada mereka.” Maklum balas itu sekali lagi dimasukkan ke dalam proses inovasi Samuel yang berterusan, membawa kepada keputusan yang tidak dapat dinafikan – kadar kelulusan Bahasa Inggeris murid-muridnya meningkat daripada 30% (2008-2012) kepada 80% (2013-2017).
Donny, kini berusia 19 tahun dan belajar di kolej vokasional, mengakui nasib baiknya dalam menghadiri sekolah Pusat Intelek, di mana kebanyakan warden dan guru tidak akan mengecam mereka. Namun begitu, dia juga mengalami pengalaman buruk: “Bagi saya, masalahnya ialah apabila terdapat cikgu yang tidak berusaha untuk memajukan pendidikan dan kokurikulum Orang Asli,” katanya.
“Murid-murid Orang Asli akan lebih cenderung terhadap aktiviti sukan, tetapi kalau mereka diajar dengan betul, semua orang boleh belajar.”
Sementara guru diharapkan untuk mengajar dengan lebih baik, dapatan kajian IDEAS menunjukkan bahawa mereka tidak dibantu kerana kekurangan sokongan yang sistemik.
““Kita perlu memastikan guru-guru yang ditugaskan di sekolah luar bandar lebih bersedia untuk pekerjaan mereka, dengan menyediakan latihan dan pemekaan yang bersesuaian, juga penginapan yang baik,” kata Ya Shin, sambil menyatakan bahawa ramai guru yang ditemubualnya berasa tidak bersedia dan kekurangan sokongan untuk menangani cabaran mengajar murid Orang Asli, terutamanya di kawasan pedalaman. “Tetapi selain daripada itu, kami memerlukan wadah di mana guru-guru ini boleh berkongsi kejayaan serta kegagalan mereka, dan belajar antara satu sama lain.”
Donny mempunyai solusi yang lebih mudah, seiring dengan desakan Samuel untuk penyertaan yang lebih besar daripada komuniti: “Kalau sekolah kurang untuk membangunkan kemajuan Orang Asli, jadi saya pun berusaha,” katanya. “Itu sebab saya nak jadi cikgu pada masyarakat Orang Asli.”