Kenali guru-guru wira kita

Cikgu Faiz

Cikgu Faiz merombak semula bilik darjahnya bersama komuniti Orang Asli yang diajarinya. Mereka memanggilnya The Learning Hut, ataupun ‘Pondok Belajar’.

Ianya ruang luar yang direka dan dibina dengan kerjasama guru, kakitangan sekolah, komuniti, dan juga murid-murid itu sendiri.

Murid-murid berperanan sebagai 'arkitek muda' yang menyumbang kepada reka bentuk ruang itu. Bahan-bahan binaan dibeli melalui sumbangan daripada guru dan komuniti, dan diangkut masuk ke kampung menggunakan pacuan empat roda. Buluh diperolehi oleh komuniti dari hutan berdekatan.

Pondok Belajar menjadi ruang selamat di mana komuniti dapat mempelajari tentang apa-apa sahaja – daripada hidroponik dan projek kitar semula, kepada nyanyian dan tarian. Guru boleh menggunakan ruang itu untuk pembelajaran berasaskan pengalaman dan murid-murid boleh menggunakannya semata-mata untuk mengisi masa lapang.

Beberapa pelajaran menarik yang diajar di sana, termasuk mempelajari tentang penjarakkan sosial melalui roleplay, dan mempelajari Bahasa Inggeris dengan memasak mi segera.

The Learning Hut memberikan impak yang nyata. Pada tahun 2018, sebelum ia dibina, kadar kelulusan UPSR untuk murid di sekolah itu adalah sifar bagi kedua-dua pemahaman dan penulisan Bahasa Inggeris. Pada tahun 2019, 15 daripada 40 murid lulus pemahaman Bahasa Inggeris, manakala lima daripada 40 murid lulus penulisan Bahasa Inggeris.

Teacher Samuel Isaiah

Semasa Teacher Samuel mula-mula mengajar di sebuah sekolah rendah di Pahang, beliau menyedari bahawa antara halangan utama pendidikan bagi kanak-kanak Orang Asli ialah persepsi dalam kalangan guru bahawa kanak-kanak Orang Asli tidak boleh diajar.

Samuel enggan menerima persepsi itu, dan sebaliknya memutuskan untuk meneliti kembali strategi pengajarannya, untuk melihat jika beliau boleh menjadikannya lebih mudah untuk diakses oleh kanak-kanak Orang Asli.

Selepas menjalankan analisis keperluan ke atas murid-muridnya, beliau segera menyedari bahawa mengikuti sukatan pelajaran yang sedia ada tidak akan memberi kesan yang efektif kepada kanak-kanak yang tidak boleh membaca.

Beliau kemudian mula berinteraksi dengan murid-muridnya, keluarga mereka, seluruh komuniti, sehingga membawa ibu bapa mereka ke sekolah untuk menjalin hubungan.

Malah lebih daripada itu, Samuel membawa sekolah ke dalam komuniti, dengan mengadakan kelas 'Sekolah Pokok' di dalam kampung mereka.

Usaha beliau meningkatkan kadar kelulusan Bahasa Inggeris anak muridnya daripada 30% (2008-2012) ke 80% (2013-2017).

Tetapi yang lebih penting, beliau membantu menjadikan pendidikan suatu usaha komuniti, di mana murid-murid serta ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat atas apa yang berlaku di dalam bilik darjah.

Cikgu Subaidi

Bagi Cikgu Subaidi, guru-guru sepatutnya diberi kebebasan untuk mengadaptasikan kaedah pengajaran supaya sesuai dengan tahap anak murid dan konteks mereka. Itu kerana beliau sendiri telah berjaya dengan pendekatan seperti itu.

Dia memanggil kaedah pengajarannya 'Rimbagogi'. Pelajaran diterap dengan unsur-unsur yang diambil daripada kehidupan seharian, persekitaran dan murid-murid Orang Asli, menjadikannya senang untuk difahami.

Apabila pelajaran memerlukan murid-murid memahami konsep yang asing bagi mereka, Cikgu Subaidi menggunakan teknologi untuk merapatkan jurang. Contohnya, beliau menggunakan set kepala realiti maya untuk membantu anak muridnya mempelajari tentang Menara Berkembar Petronas.

Kaedah inovatif lain yang digunakannya termasuklah penggunaan permainan papan untuk mengukuhkan perbendaharaan kata dan ejaan anak muridnya.

Dari tahun 2016 hingga 2019, kadar kelulusan Bahasa Inggeris untuk anak muridnya adalah 100%.