Anda perlu habiskan pelajaran ini dahulu! Apabila anda sudah meneliti setiap bab, dan menemui 12 cara untuk kita meningkatkan akses Orang Asli kepada pendidikan, anda akan membuka kunci ganjaran ini yang boleh anda kongsikan dengan rakan-rakan!
Anda telah menemui kunci 0! Tinggal lagi 12! Semak progress anda dengan menggunakan paparan skor ini!
Cari semua penyelesaian untuk membuka kunci ganjaran anda
Baca 12 penyelesaian yang disyorkan dalam kertas penyelidikan ini.
Kad skor anda:
Cadangan 1: Perlu ada tumpuan yang lebih besar terhadap pembelajaran dan menangani cabaran-cabaran asas berbanding memberi tumpuan pada permasalahan gejala
Budaya persekolahan umum mesti mengutamakan pembelajaran berbanding peperiksaan atau ulang-hafalan. Pendidikan berkualiti tinggi yang boleh memotivasikan dan mendidik pelajar amat diperlukan bagi melahirkan pelajar Orang Asli yang berdikari. Dasar dan program perlu menangani isu asas dan bukannya hanya menangani masalah gejala secara am yang tidak menyelesaikan atau membasmi isu ini.
Cadangan 2: Budaya dan sejarah orang asal haruslah disepadukan ke dalam kurikulum arus perdana.
Sangat penting untuk budaya dan sejarah Orang Asal dimasukkan dalam kurikulum arus perdana, dan Orang Asli tidak seharusnya digambarkan sebagai kaum asing eksotik, sebaliknya diraikan sebagai sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat di Malaysia. Murid-murid sekolah harus diajar tentang kumpulan sub-etnik Orang Asli yang berbeza, tempat tinggal, sumbangan kepada pembentukan negara, kesenian, dan budaya mereka yang berkait rapat dengan persekitaran semula jadi.
Hak Orang Asli untuk menentukan nasib mereka sendiri sebagai Orang Asal juga harus dimasukkan dalam pendidikan arus perdana.
Cadangan 3: Program sedia ada haruslah dipantau dan dinilai untuk memastikan penyampaian dan pelaksanaan yang cekap dan berkesan
Pemantauan berkala, serta penilaian semasa dan pasca program diperlukan untuk memastikan program berjalan mengikut perancangan dan dapat dilaraskan sekiranya terdapat isu baharu yang timbul. Pemantauan dan penilaian ini perlu dipertimbangkan pada permulaan reka bentuk program asal.
Cadangan 4: Para guru dan pemimpin sekolah yang mempunyai kelengkapan dan berkemampuan menyampaikan pendidikan berkualiti kepada murid Orang Asli perlu diberikan autonomi yang lebih luas dan kebertanggungjawaban yang seimbang. of delivering quality education for Orang Asli students need to be entrusted with greater autonomy and balanced accountability.
Guru dan pemimpin sekolah yang mampu meningkatkan kualiti pendidikan murid Orang Asli harus diberi kebebasan untuk berbuat demikian, kerana mereka boleh menjadi teladan yang memacu perubahan. Walau bagaimanapun, autonomi ini perlu diimbangi dengan kebertanggungjawaban. Guru-guru dan pemimpin sekolah ini juga perlu diberi latihan lanjut dan kelengkapan untuk memanfaatkan sepenuhnya autonomi ini supaya dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berserta peruntukan sumber yang cekap.
Cadangan 5: Latihan pra-penempatan mengenai budaya Orang Asli boleh diberikan kepada guru, dan infrastruktur serta sumber untuk guru di sekolah Orang Asli harus ditambah baik.
Guru-guru yang ditempatkan di sekolah yang mempunyai murid Orang Asli harus diberi latihan untuk memperkenalkan mereka kepada sejarah dan budaya kumpulan sub-etnik Orang Asli yang akan mereka ajar. Modul persediaan ini juga boleh merangkumi latihan prasangka tersirat untuk mewujudkan kesedaran diri tentang prasangka perkauman yang dialami oleh Orang Asli.
Guru yang ditempatkan di sekolah Orang Asli sering memikul pelbagai tanggungjawab di luar bilik darjah, seperti menjaga pelajar selepas waktu sekolah dan menyelenggara infrastruktur sekolah. Guru-guru ini harus diberi lebih sokongan dan dinaikkan elaun untuk tanggungjawab tambahan ini. Keadaan kehidupan dan infrastruktur pengajaran mereka juga boleh dipertingkatkan.
Cadangan 6: Guru harus dilatih dalam pedagogi yang inovatif dan adaptif, manakala wadah/sarana/medan/saluran untuk perkongsian pengetahuan boleh diwujudkan.
Guru harus diperkenalkan kepada cara pengajaran yang berbeza seperti pedagogi responsif dan adaptif terhadap budaya, sebelum dan semasa penempatan mereka. Guru-guru berpengalaman digalakkan berkongsi amalan terbaik mereka dan memberikan nasihat kepada guru baharu.
Inisiatif perkongsian pengetahuan lain boleh merangkumi persidangan pengajaran tahunan untuk memupuk rangkaian dan sokongan dalam kalangan guru; dan saluran perkongsian pengetahuan dalam talian yang mesra pengguna sebagai sumber untuk guru.
Guru sering menggunakan dana persendirian untuk membina alat pengajaran yang inovatif. Mereka harus disokong, dan dana pengajaran serta pembelajaran harus disediakan untuk guru. Pengiktirafan juga harus diberikan kepada guru dan sekolah atas amalan terbaik mereka.
Cadangan 7: Kepercayaan dan kerjasama antara sekolah dan masyarakat Orang Asli perlu dibina kerana ibu bapa Orang Asli serta komuniti mereka adalah rakan kongsi yang penting dalam pendidikan.
Hal ini penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong kanak-kanak Orang Asli. Sekolah dan komuniti harus mempunyai komunikasi terbuka dan bekerja secara kolaboratif. Sekolah juga boleh menggunakan kepakaran komuniti dan pengetahuan tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran untuk pelajar mereka.
Cadangan 8: Sekolah berasaskan komuniti (PDK) perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem sokongan untuk sekolah dan sumber yang mencukupi perlu disediakan kepada PDK.
Sokongan dan pengiktirafan harus diberikan kepada PDK oleh kerana peranan penting mereka dalam pendidikan masyarakat. PDK menyediakan pendidikan prasekolah, program selepas waktu sekolah dan dalam beberapa kes persekolahan alternatif untuk kanak-kanak tanpa akses kepada sekolah awam atau mereka yang tercicir. Beberapa PDK juga menyediakan peluang pembelajaran untuk orang dewasa dalam komuniti.
Sokongan boleh diberi dalam bentuk pembiayaan dan bantuan sumber kepada PDK, termasuk infrastruktur seperti perpustakaan, komputer dan sambungan internet yang kukuh. Walau bagaimanapun, autonomi mereka harus kekal sebagai ciri penting dalam struktur tadbir urus mereka.
Cadangan 9: Pendidikan prasekolah yang berkualiti perlu disediakan berdasarkan pembelajaran melalui permainan, interaksi sosial dan persekitaran mereka.
Murid Orang Asli tanpa akses kepada prasekolah serba kekurangan apabila mereka memasuki Darjah 1, kerana kurikulum menganggap bahawa mereka sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Guru perlu memberi perhatian khusus untuk mengajar kemahiran asas ini kepada mereka, tetapi hal ini mungkin tidak dapat dilakukan memandangkan saiz kelas yang besar. Murid yang menghadiri prasekolah juga mungkin lebih yakin dengan kebolehan mereka dan dapat beralih ke kehidupan persekolahan dengan lebih baik. Terdapat banyak kampung yang tidak mempunyai akses kepada prasekolah dan penubuhan lebih banyak pusat didikan komuniti (PDK) boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak Orang Asli.
Cadangan 10: Masyarakat Orang Asli harus diperkasa untuk menjadi agen perubahan mereka sendiri dan mengambil bahagian dalam proses penggubalan dasar berkaitan Orang Asli.
Ini memastikan bahawa budaya dan pandangan mereka diterapkan dalam penggubalan dasar. Isu dan cabaran pendidikan harus ditangani bersama dengan ibu bapa dan komuniti Orange Asli di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
Salah satu langkah yang penting adalah penubuhan Majlis pendidikan Orang Asli, yang terdiri daripada pemimpin, penggubal dasar pendidikan, pengetua, dan guru Orang Asli, bersama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan. Majlis ini boleh mentadbir dan memantau kemajuan dasar dan program untuk kanak-kanak, lantas memastikan suara Orang Asli diambil kira dan terlibat sepenuhnya dalam pemantauan rapi mana-mana program.
Cadangan 11: Mewujudkan wacana berasaskan kekuatan untuk beralih daripada wacana defisit semasa Orang Asli.
Kadar keciciran pelajar Orang Asli yang tinggi dan jurang dalam pencapaian pendidikan sering dikaitkan dengan budaya dan cara hidup mereka. Semua pihak berkepentingan perlu beralih daripada 'wacana defisit' ini, dan menerima pakai satu rangka berasaskan kekuatan yang menghargai budaya Orang Asli sebagai aset. Hal ini termasuk peralihan kepada kaedah pengajaran responsif terhadap budaya yang menggunakan konteks budaya pelajar untuk menjadikan pembelajaran berkaitan dan berkesan.
Cadangan 12: Kerjasama kementerian yang berkaitan mesti diperkukuh untuk menangani cabaran pelbagai dimensi yang dihadapi oleh kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli.
Pelbagai agensi perlu bekerjasama untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi. Hal ini termasuk membina sekolah yang berhampiran dengan kampung, menyediakan pengangkutan dan jalan raya yang selamat dan kukuh, serta bantuan kewangan dan sumber kepada keluarga dan sekolah.
Infrastruktur seperti asrama, perpustakaan, pusat komputer, dan sambungan internet juga amat diperlukan.
Di peringkat kampung, kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih adalah penting.
Kerjasama NGO dan yayasan kebajikan lain juga diperlukan dalam usaha ini. Aliran maklumat dan ketelusan mengenai ketersediaan bantuan juga perlu ditangani supaya ibu bapa dan pelajar menyedarinya dan mempunyai akses kepada bantuan dan sumber yang tersedia untuk mereka.
Keluarga Meng tidak mempunyai kereta, tetapi dia mengimpikan sebuah sekolah yang mempunyai tempat letak kereta untuk orang kurang upaya (OKU). Impiannya sangat kuat – apabila melakar sekolah idamannya di atas kertas, dia memastikan sebahagian tempat letak kereta yang dilukisnya ditanda dengan simbol OKU.
“Sebabnya, saya pun ada juga keluarga yang golongan OKU,” jelasnya. “(Parking OKU itu) memudahkan mereka parking kereta, sebab kadang-kadang tengok mereka turun dari kereta pun susah.”
Kemudian, setelah terhenti seketika, dia menambah: “Dan saya pun termasuk juga (dalam golongan OKU).”
Kami terkesima.Ketika kami berbicara dengannya melalui panggilan video, kanak-kanak perempuan yang yakin dan ekspresif ini tidak menunjukkan dia kekurangan apa-apa dari segi fizikal. Lalu kami bertanya dengan lebih lanjut.
“Mulanya saya lambat untuk faham,” dia menjelaskan pengalamannya semasa sekolah rendah. “Dari segi mengeja, kalau menulis, saya OK. Cuma masalah saya nak baca je yang saya tak lepas.”
Salah seorang gurunya menyedari sesuatu yang tidak kena padanya, lalu membawanya untuk pemeriksaan, di mana seorang doktor mendiagnosis Meng mengalami masalah pembelajaran. Dalam beberapa minggu, dia diberikan kad OKU, dan dia mula menghadiri kelas yang berbeza dan mengambil peperiksaan berasingan daripada rakan sebayanya. Keluarganya juga menerima bantuan bulanan dalam bentuk wang.
Sebilangan ibu bapa mengeluh mengenangkan bagaimana guru mudah membiarkan pelajar Orang Asli dikategorikan sebagai OKU, dan bukan cuba memahami keperluan pelajar dan menyesuaikan kaedah pengajaran mereka sewajarnya.
Bagi Meng dan keluarga, mereka tidak diberitahu tentang hal itu sehinggalah dia menerima kad OKU. Walaubagaimanapun, dia menerima hakikatnya: “Waktu itu boleh terima lah, sebab tahu lah sendiri pun tak boleh baca.”
Namun selepas itu, hinaan bermula.
Apa yang mereka kata? kami menyentuh topik itu dengan lembut. “Diaorang kata OKU, tak pandai lah, cacat lah, bodoh lah.”
Dia ketawa ringan, ketawa yang sering dilakukan untuk menutup perasaan malu, kemudian cepat-cepat meminta maaf kerana mengulangi perkataan-perkataan itu kepada kami. Kami tidak tahu bagaimana untuk menolak permohonan maafnya.
“Saya cuma senyap je,” sambungnya. “Kadang-kadang sakit hati dengar, tapi bila lawan balik, lama-lama jadi senyap. Tak berani nak lawan.”
Cacian itu berterusan dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Pihak berkuasa telah memberikan status yang lebih rendah kepada Meng, dan nampaknya orang lain mengambil kesempatan untuk memperlakukannya sedemikian.
“Saya cakap ‘Sabar je, sabar’,” katanya, mengajuk suara yang tenang. “Walaupun kadang-kadang hati rasa nak tumbuk orang pun ada.”
“Sabar je, nanti tunjuk je kebolehan diri kepada mereka.”
Suaranya nekad semasa mengatakannya, suara seorang kanak-kanak yang bertekad untuk merampas kembali naratif hidupnya.
Keputusan peperiksaannya meningkat. Dia berkata dia tidak lagi menghadapi masalah membaca, dan dia kini mendapat markah yang lebih baik berbanding beberapa pelajar yang menghinanya.
“Kisah-kisah kejayaan, dalam mengatasi halangan, benar-benar membantu mengubah wacana awam yang mempamerkan Orang Asli sebagai mundur atau bertaraf rendah," kata Ya Shin apabila mengingati kisah Meng. "Wacana itu adalah tidak benar sama sekali, tetapi berlaku di peringkat sekolah, dan seterusnya ke peringkat tertinggi penggubalan dasar awam."
“‘Naratif defisit’ ini menyalahkan budaya dan cara hidup Orang Asli sebagai punca masalah,” kata Dr Rusaslina. "Jadi mereka dipersalahkan dan tidak banyak perhatian diberikan kepada masalah yang lebih asas seperti ketidaksamaan struktur dan kebolehcapaian."
Kajian IDEAS melihatkan beberapa contoh di mana cara hidup Orang Asli dikatakan sebagai cabaran kepada pendidikan, kecacatan yang perlu diatasi, dan menyatakan persepsi sedemikian wujud dalam kalangan guru, penggubal dasar, ahli akademik dan media.
Terdapat suatu ketika di mana Orang Asli telah diberikan status defisien, dan kini nampaknya semua orang menganggap ianya wajar untuk memperlakukan mereka sebegitu rupa.
“Kita perlu beralih kepada wacana berasaskan kekuatan, di mana kita mengiktiraf budaya dan tradisi Orang Asli sebagai sumber penting dan kita semua boleh belajar daripadanya,” tegas Dr Rusaslina. "Apabila kita mengiktirafnya, kita mengiktiraf mereka sebagai manusia yang setaraf dengan kita dalam masyarakat, bukannya orang yang perlu diberitahu apa yang perlu dilakukan dan jenis pembangunan yang mereka perlukan."
"Mungkin satu perkara yang perlu kita lakukan ialah menghormati autonomi mereka, hak mereka untuk memutuskan sendiri apa yang mereka mahukan untuk komuniti mereka."
Itu akan mengembalikan kepada mereka hak naratif mereka sendiri. Hak untuk membayangkan persekitaran mereka, ekonomi mereka, keluarga mereka, sekolah mereka, sepertimana yang mereka lihat. Hanya apabila semua orang memiliki hak itu, barulah kita dapat sama-sama membayangkan masyarakat yang adil dan saksama.
Adakah anda rasa anda kurang upaya? tanya kami kepada Meng. “Kalau dulu, ya. Tapi kalau sekarang, rasa tak ada dah,” jawabnya, dan kami membayangkannya dia sudahpun mula membina masyarakat impiannya. “Tapi saya akan hormat juga orang OKU, sebab saya tahu saya sendiri pun pernah OKU juga.”
*Nama kanak-kanak telah ditukar untuk melindungi identiti mereka. Temubual bersama Niza ini tiada kaitan dengan temubual kajian IDEAS.