Anda perlu habiskan pelajaran ini dahulu! Apabila anda sudah meneliti setiap bab, dan menemui 12 cara untuk kita meningkatkan akses Orang Asli kepada pendidikan, anda akan membuka kunci ganjaran ini yang boleh anda kongsikan dengan rakan-rakan!
Anda telah menemui kunci 0! Tinggal lagi 12! Semak progress anda dengan menggunakan paparan skor ini!
Cari semua penyelesaian untuk membuka kunci ganjaran anda
Baca 12 penyelesaian yang disyorkan dalam kertas penyelidikan ini.
Kad skor anda:
Cadangan 1: Perlu ada tumpuan yang lebih besar terhadap pembelajaran dan menangani cabaran-cabaran asas berbanding memberi tumpuan pada permasalahan gejala
Budaya persekolahan umum mesti mengutamakan pembelajaran berbanding peperiksaan atau ulang-hafalan. Pendidikan berkualiti tinggi yang boleh memotivasikan dan mendidik pelajar amat diperlukan bagi melahirkan pelajar Orang Asli yang berdikari. Dasar dan program perlu menangani isu asas dan bukannya hanya menangani masalah gejala secara am yang tidak menyelesaikan atau membasmi isu ini.
Cadangan 2: Budaya dan sejarah orang asal haruslah disepadukan ke dalam kurikulum arus perdana.
Sangat penting untuk budaya dan sejarah Orang Asal dimasukkan dalam kurikulum arus perdana, dan Orang Asli tidak seharusnya digambarkan sebagai kaum asing eksotik, sebaliknya diraikan sebagai sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat di Malaysia. Murid-murid sekolah harus diajar tentang kumpulan sub-etnik Orang Asli yang berbeza, tempat tinggal, sumbangan kepada pembentukan negara, kesenian, dan budaya mereka yang berkait rapat dengan persekitaran semula jadi.
Hak Orang Asli untuk menentukan nasib mereka sendiri sebagai Orang Asal juga harus dimasukkan dalam pendidikan arus perdana.
Cadangan 3: Program sedia ada haruslah dipantau dan dinilai untuk memastikan penyampaian dan pelaksanaan yang cekap dan berkesan
Pemantauan berkala, serta penilaian semasa dan pasca program diperlukan untuk memastikan program berjalan mengikut perancangan dan dapat dilaraskan sekiranya terdapat isu baharu yang timbul. Pemantauan dan penilaian ini perlu dipertimbangkan pada permulaan reka bentuk program asal.
Cadangan 4: Para guru dan pemimpin sekolah yang mempunyai kelengkapan dan berkemampuan menyampaikan pendidikan berkualiti kepada murid Orang Asli perlu diberikan autonomi yang lebih luas dan kebertanggungjawaban yang seimbang. of delivering quality education for Orang Asli students need to be entrusted with greater autonomy and balanced accountability.
Guru dan pemimpin sekolah yang mampu meningkatkan kualiti pendidikan murid Orang Asli harus diberi kebebasan untuk berbuat demikian, kerana mereka boleh menjadi teladan yang memacu perubahan. Walau bagaimanapun, autonomi ini perlu diimbangi dengan kebertanggungjawaban. Guru-guru dan pemimpin sekolah ini juga perlu diberi latihan lanjut dan kelengkapan untuk memanfaatkan sepenuhnya autonomi ini supaya dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berserta peruntukan sumber yang cekap.
Cadangan 5: Latihan pra-penempatan mengenai budaya Orang Asli boleh diberikan kepada guru, dan infrastruktur serta sumber untuk guru di sekolah Orang Asli harus ditambah baik.
Guru-guru yang ditempatkan di sekolah yang mempunyai murid Orang Asli harus diberi latihan untuk memperkenalkan mereka kepada sejarah dan budaya kumpulan sub-etnik Orang Asli yang akan mereka ajar. Modul persediaan ini juga boleh merangkumi latihan prasangka tersirat untuk mewujudkan kesedaran diri tentang prasangka perkauman yang dialami oleh Orang Asli.
Guru yang ditempatkan di sekolah Orang Asli sering memikul pelbagai tanggungjawab di luar bilik darjah, seperti menjaga pelajar selepas waktu sekolah dan menyelenggara infrastruktur sekolah. Guru-guru ini harus diberi lebih sokongan dan dinaikkan elaun untuk tanggungjawab tambahan ini. Keadaan kehidupan dan infrastruktur pengajaran mereka juga boleh dipertingkatkan.
Cadangan 6: Guru harus dilatih dalam pedagogi yang inovatif dan adaptif, manakala wadah/sarana/medan/saluran untuk perkongsian pengetahuan boleh diwujudkan.
Guru harus diperkenalkan kepada cara pengajaran yang berbeza seperti pedagogi responsif dan adaptif terhadap budaya, sebelum dan semasa penempatan mereka. Guru-guru berpengalaman digalakkan berkongsi amalan terbaik mereka dan memberikan nasihat kepada guru baharu.
Inisiatif perkongsian pengetahuan lain boleh merangkumi persidangan pengajaran tahunan untuk memupuk rangkaian dan sokongan dalam kalangan guru; dan saluran perkongsian pengetahuan dalam talian yang mesra pengguna sebagai sumber untuk guru.
Guru sering menggunakan dana persendirian untuk membina alat pengajaran yang inovatif. Mereka harus disokong, dan dana pengajaran serta pembelajaran harus disediakan untuk guru. Pengiktirafan juga harus diberikan kepada guru dan sekolah atas amalan terbaik mereka.
Cadangan 7: Kepercayaan dan kerjasama antara sekolah dan masyarakat Orang Asli perlu dibina kerana ibu bapa Orang Asli serta komuniti mereka adalah rakan kongsi yang penting dalam pendidikan.
Hal ini penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong kanak-kanak Orang Asli. Sekolah dan komuniti harus mempunyai komunikasi terbuka dan bekerja secara kolaboratif. Sekolah juga boleh menggunakan kepakaran komuniti dan pengetahuan tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran untuk pelajar mereka.
Cadangan 8: Sekolah berasaskan komuniti (PDK) perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem sokongan untuk sekolah dan sumber yang mencukupi perlu disediakan kepada PDK.
Sokongan dan pengiktirafan harus diberikan kepada PDK oleh kerana peranan penting mereka dalam pendidikan masyarakat. PDK menyediakan pendidikan prasekolah, program selepas waktu sekolah dan dalam beberapa kes persekolahan alternatif untuk kanak-kanak tanpa akses kepada sekolah awam atau mereka yang tercicir. Beberapa PDK juga menyediakan peluang pembelajaran untuk orang dewasa dalam komuniti.
Sokongan boleh diberi dalam bentuk pembiayaan dan bantuan sumber kepada PDK, termasuk infrastruktur seperti perpustakaan, komputer dan sambungan internet yang kukuh. Walau bagaimanapun, autonomi mereka harus kekal sebagai ciri penting dalam struktur tadbir urus mereka.
Cadangan 9: Pendidikan prasekolah yang berkualiti perlu disediakan berdasarkan pembelajaran melalui permainan, interaksi sosial dan persekitaran mereka.
Murid Orang Asli tanpa akses kepada prasekolah serba kekurangan apabila mereka memasuki Darjah 1, kerana kurikulum menganggap bahawa mereka sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Guru perlu memberi perhatian khusus untuk mengajar kemahiran asas ini kepada mereka, tetapi hal ini mungkin tidak dapat dilakukan memandangkan saiz kelas yang besar. Murid yang menghadiri prasekolah juga mungkin lebih yakin dengan kebolehan mereka dan dapat beralih ke kehidupan persekolahan dengan lebih baik. Terdapat banyak kampung yang tidak mempunyai akses kepada prasekolah dan penubuhan lebih banyak pusat didikan komuniti (PDK) boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak Orang Asli.
Cadangan 10: Masyarakat Orang Asli harus diperkasa untuk menjadi agen perubahan mereka sendiri dan mengambil bahagian dalam proses penggubalan dasar berkaitan Orang Asli.
Ini memastikan bahawa budaya dan pandangan mereka diterapkan dalam penggubalan dasar. Isu dan cabaran pendidikan harus ditangani bersama dengan ibu bapa dan komuniti Orange Asli di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.
Salah satu langkah yang penting adalah penubuhan Majlis pendidikan Orang Asli, yang terdiri daripada pemimpin, penggubal dasar pendidikan, pengetua, dan guru Orang Asli, bersama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan. Majlis ini boleh mentadbir dan memantau kemajuan dasar dan program untuk kanak-kanak, lantas memastikan suara Orang Asli diambil kira dan terlibat sepenuhnya dalam pemantauan rapi mana-mana program.
Cadangan 11: Mewujudkan wacana berasaskan kekuatan untuk beralih daripada wacana defisit semasa Orang Asli.
Kadar keciciran pelajar Orang Asli yang tinggi dan jurang dalam pencapaian pendidikan sering dikaitkan dengan budaya dan cara hidup mereka. Semua pihak berkepentingan perlu beralih daripada 'wacana defisit' ini, dan menerima pakai satu rangka berasaskan kekuatan yang menghargai budaya Orang Asli sebagai aset. Hal ini termasuk peralihan kepada kaedah pengajaran responsif terhadap budaya yang menggunakan konteks budaya pelajar untuk menjadikan pembelajaran berkaitan dan berkesan.
Cadangan 12: Kerjasama kementerian yang berkaitan mesti diperkukuh untuk menangani cabaran pelbagai dimensi yang dihadapi oleh kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli.
Pelbagai agensi perlu bekerjasama untuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi. Hal ini termasuk membina sekolah yang berhampiran dengan kampung, menyediakan pengangkutan dan jalan raya yang selamat dan kukuh, serta bantuan kewangan dan sumber kepada keluarga dan sekolah.
Infrastruktur seperti asrama, perpustakaan, pusat komputer, dan sambungan internet juga amat diperlukan.
Di peringkat kampung, kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih adalah penting.
Kerjasama NGO dan yayasan kebajikan lain juga diperlukan dalam usaha ini. Aliran maklumat dan ketelusan mengenai ketersediaan bantuan juga perlu ditangani supaya ibu bapa dan pelajar menyedarinya dan mempunyai akses kepada bantuan dan sumber yang tersedia untuk mereka.
Di suatu tempat di tengah-tengah hutan di Pahang, sebuah bangunan pencakar langit tersergam indah akan membangun di kawasan penempatan Orang Asli. Itulah yang terjadi jika kata-kata Niza dituruti.
“Sekolah impian saya, nak bina dekat kampung,” Niza memberitahu kami. “Nak bina sekolah yang lebih daripada rumah yang kami bina, sekolah batu yang bertingkat-tingkat.”
“Sebab pelajar Orang Asli tak pernah duduk dalam bangunan yang tinggi, jadi saya ingin membina sekolah di mana pelajar Asli boleh rasa juga seperti kaum lain rasa, seperti orang Melayu, Cina, dan banyak lah kaum lain.”
Ketika kami bercakap dengannya melalui panggilan video, kedengaran sayup-sayup bunyi generator yang menjana hotspot Wi-Fi komuniti yang menghubungkan kami di kampungnya di Pos Lenjang, berdekatan kaki bukit Banjaran Titiwangsa. Capaian internet agak lemah, dan kami terpaksa mematikan siaran video kami supaya panggilan tidak terganggu.
Sambungan internet yang bermasalah menyebabkan suasana pembelajaran lebih menyesakkan semasa pandemik Covid-19, akui Niza. Dia lebih gemar menanyakan soalan kepada guru secara berhadapan, berbanding menggunakan aplikasi pemesejan.
Kami bercakap dengan Niza sebagai sebahagian daripada siri temubual bersama kanak-kanak Orang Asli, di mana kami mengajak mereka untuk membayangkan sekolah idaman mereka. Selalunya, sekolah-sekolah yang dibayangkan ini berakar umbi dari cabaran masa kini.
“Kalau saya bina satu sekolah dekat kawasan perkampungan, tak perlulah dengan lori JAKOA. Kita jalan kaki je sampai ,” jelasnya, merujuk kepada pengangkutan yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Lori-lori ini sepatutnya digunakan untuk mengangkat muatan, tetapi nampaknya boleh juga digunakan untuk menghantar murid-murid mengharungi jalan-jalan berlumpur.
“Lori itu ada tempat duduk dan luas, tapi kalau penuh dengan orang mesti sempit,” katanya tertawa sambil menceritakan perjalanannya. “Sempit sana, sempit sini, bergoyang lagi. Bila nak tidur, terhantuk sini, terhantuk situ kepala!”
Perjalanannya memakan masa lapan jam, mengharungi jalan-jalan berlumpur di dalam hutan hinggalah keluar ke bandar, dengan kira-kira 30 murid-murid lain bersesakan di dalam gerabak terbuka lori itu.
Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi Niza kadangkala bimbang lori itu akan terbalik: “Sebab ramai orang, berat kan? Dan jalan tak elok,” jelasnya.
“Kalau dekat kampung jalan dia berlubang-lubang. Lagi-lagi kalau musim hujan, habis! Dia jadi macam paya!
Pemandunya terpaksa berhenti dan menarik penutup plastik di atas gerabak, yang tidak berupaya untuk membendung hujan lebat, tetapi sekurang-kurangnya dapat memastikan beberapa bahagian di dalam gerabak itu tidak terkena hujan.
“Bila hujan, kami cepat-cepat campak beg dekat tempat yang tak kena hujan,” katanya. “Masa hujan orang tak marah bila kami campak beg, tapi bila dah sampai sekolah, marah sebab beg hilang!”
Di sekolah, dia tinggal di asrama sehinggalah perjalanan lori seterusnya membawanya pulang untuk cuti semester.
Adakah anda suka menaiki lori ke sekolah? tanya kami. “Suka,” jawabnya. “Sebab saya tak ada pengangkutan lain nak pergi sekolah, naik je apa yang ada.”
Asalkan dapat pergi ke sekolah? “Ya. Saya gembira kalau saya sampai kat sekolah, dapat belajar. Saya lebih suka belajar, daripada duduk kampung tak tahu nak buat apa.”
Cabaran hanya untuk hadir ke sekolah adalah suatu cabaran yang dihadapi oleh ramai murid-murid Orang Asli. Kertas kajian 2021 oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendedahkan pengangkutan sebagai salah satu masalah yang paling sering diketengahkan oleh murid-murid dan ibu bapa Orang Asli dalam hal pencapaian pendidikan. Kebanyakan maklumbalas mereka berkaitan dengan kebolehpercayaan atau kesesuaian pengangkutan yang disediakan oleh JAKOA.
Ada sebahagian yang melaporkan kemalangan akibat kenderaan yang tidak sesuai atau terlebih muatan.
Walaupun begitu, majoriti mereka yang ditemubual terus bergantung kepada bantuan pengangkutan JAKOA, sama ada dalam bentuk pengangkutan kontrak atau, dalam beberapa kes, subsidi minyak. Ini menggariskan cabaran sosio-ekonomi lebih luas yang dihadapi oleh Orang Asli, yang mengehadkan akses mereka kepada infrastruktur yang dianggap remeh oleh populasi utama.
Menurut statistik terkini daripada Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, apabila kadar kemiskinan negara adalah 3.8% pada tahun 2009, kadar kemiskinan Orang Asli ialah 49%.
Kajian IDEAS mengenalpasti kemiskinan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan pelajar Orang Asli – terutamanya semasa peralihan antara sekolah rendah dan menengah – dan prestasi akademik yang lemah.
"Ketersediaan bantuan pengangkutan menunjukkan terdapat pemahaman tentang keperluan masyarakat Orang Asli," kata Wan Ya Shin, penulis laporan IDEAS itu. "Tetapi terdapat keperluan untuk terus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan program bantuan ini melalui pemantauan dan penilaian yang lebih baik – bagi semua program, bukan hanya pengangkutan."
Tinjauan IDEAS mendedahkan banyak contoh di mana program bantuan kurang memberangsangkan oleh kerana pelaksanaan yang lemah. Salah satu contoh adalah pembayaran elaun pelajar yang dikeluarkan pada hujung bulan, bermakna sesetengah murid terpaksa berlapar sementara menunggu pembayaran, malah ada juga yang berhenti sekolah.
“Cara terbaik untuk menambah baik adalah memperkasakan komuniti tempatan sendiri untuk terlibat dalam keseluruhan proses,” sambung Ya Shin. “Pewujudan majlis pendidikan Orang Asli yang terdiri daripada pemimpin, penggubal dasar pendidikan, pengetua, dan guru dari komuniti Orang Asli, dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, untuk mentadbir dan memantau kemajuan dasar dan program untuk kanak-kanak, akan membantu memastikan suara Orang Asli diambil kira sepenuhnya dan terlibat dalam pemantauan rapi mana-mana program.”
“Perlu ada saluran yang betul di mana majlis ini boleh membuat aduan dan cadangan kepada semua kementerian yang berkaitan, untuk memudahkan kerjasama antara kementerian.”
Separuh jalan berbicara dengan Niza, dia terpaksa memutuskan perbualan.
“Jap, jap. WiFi sudah habis minyak,” katanya di samping riuh-rendah suara di latar belakang. Generator petrol yang menjanakan hotspot WiFi komuniti kekurangan minyak. Capaian internet akan terputus tidak lama lagi.
“Bukan habis kredit top-up, habis minyak” jelasnya, sekaligus merujuk kepada dua cabaran yang menjejaskan 'pengangkutannya' ke sekolah semasa pandemik.
Walaupun ketersambungan moden mendekatkan kita dengan sesiapa sahaja yang kita mahukan, sekolah idaman Niza masih berdiri jauh dari pandangan.