10 Soalan Lazim Berkaitan Program Sarapan Percuma

1. Apakah tujuan utama pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP)?

Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

2. Siapakah kumpulan sasar bagi program ini?

Kumpulan sasar bagi program ini adalah semua murid warganegara sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan anggaran seramai 2.7 juta orang.

3. Bagaimana pula dengan murid prasekolah dan sekolah menengah?

Murid prasekolah dan sekolah menengah tidak terlibat untuk program ini dan makanan untuk murid prasekolah melibatkan tatacara perolehan yang berlainan.

4. Bilakah program ini akan mula dilaksanakan?

PSP akan mula dilaksanakan bermula pada sesi persekolahan tahun 2020.

5. Bagaimanakah PSP ini akan diuruskan nanti dan pihak mana yang bertanggungjawab unuk menyediakan sarapan ini?

PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

6. Pada waktu bilakah PSP akan dilaksanakan pada setiap hari persekolahan?

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit di antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan di antara jam 12 tengah hari hingga 4.00 petang bagi sekolah sesi petang.

7. Berapakah kos sarapan bagi setiap murid?

KPM sedang meneliti kos yang bersesuaian bagi memastikan semua murid dapat menikmati hidangan yang baik dan berkualiti.

8. Bagaimanakah KPM akan menentukan menu PSP ini dan menjamin kualitinya nanti?

Proses penentuan menu PSP adalah melalui perbincangan berterusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar-pakar pemakanan di beberapa universiti tempatan. KPM juga mengambil langkah-langkah bersesuaian melalui kerjasama dengan KKM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar-pakar pemakanan di universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan.

9. Adakah KPM melaksanakan sebarang projek rintis terhadap PSP?

Bagi menjamin pelaksanaannya dapat berjalan lancar kelak, KPM sedang melaksanakan PSP rintis di beberapa buah sekolah. PSP rintis telah bermula sejak awal Ogos 2019 dan dijangka berakhir pada Oktober 2019 Berdasarkan analisis PSP rintis ini, KPM akan mengambil pendekatan bersesuaian untuk melaksanakan PSP secara lebih baik dan menyeluruh.

10. Bagaimana pula dengan peruntukan untuk melaksanakan PSP? Adakah ia akan menggunakan dana dari kutipan cukai gula?

Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi membincangkan secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan untuk program ini. Penggunaan dana daripada cukai gula merupakan sebahagian daripada cadangan yang akan diteliti dalam Jawatankuasa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *